Friday, August 13, 2010

Hidup (Bahagian 2)


Hidup. Sesuatu jasad yang mempunyai roh. Aku selalu terfikir akan kata-kata William Shakespeare yang mengatakan hidup kita ini sebenarnya hanya berlangsung singkat, namun waktu yang singkat itu terasa lama apabila kita mahu memanfaatkannya secara baik. Adakah aku memanfaatkan kehidupan ini sebaik-baiknya? Ada juga yang berpendapat bahawa hidup ini seperti berlakon di pentas dengan jalan ceritanya entah sampai bila penamatnya. Jika watak kita tamat dalam cerita itu, tamatlah juga kehidupan kita. Hidup ini haruslah tempuhi dengan mengharungi pelbagai ujian dan rintangan. Walaupun terasa perit dan pedih namun aku perlu tabah menghadapinya. Membunuh diri bukan jalan penyelesaian terbaik kerana sebenarnya kita sudah bersedia untuk hidup. Kita telah diberi nafas sebaik sahaja kita keluar dari rahim ibu kita. Kadang-kadang hidup ini penuh dengan kegembiraan dan kadang-kadang hidup ini penuh dengan kesengsaraan. Bagaimana pula jika hidup sendirian dan keseorangan sehinggakan tiada siapa sedar akan kewujudannya. Bagaikan keseorangan di dunia yang penuh ketakutan. Tiada tempat mengadu. Tiada tempat untuk dikasihi. Hidup begini terlalu lama membuat kita kadang-kala tidak tahu bagaimana untuk berkomunikasi.
Alam fantasi adalah hidupku. Aku sering berangan-angan dan menjadikan hidup ini begitu sempurna. Alam inilah membuat kehidupan aku lebih indah dari dunia sebenar. Aku selalu mengharapkan alam fantasi ini menjadi kenyataan. Walaupun ini adalah impian kosong, aku tetap mengharapkan sesuatu keajaiban akan berlaku dalam hidup ini. Kehidupanku di dunia nyata bagaikan tiada makna bagiku. Diri aku ini bagaikan melukut di tepi gantang. Bagai burung patah kakinya. Walaupun burung itu dapat terbang bebas tetapi masih terasa kekosongan.
Lagu ‘Hello’ dari penyanyi Evanescence berkumandang. Tersentak aku dari lamunan. Terlihat nama Amirul Sharif tertera di telefon bimbitku. Masih ada lagi seorang insan menghargai diriku. Dia sering sahaja menghubungi ataupun dengan menghantar kiriman SMS semata-mata untuk bertanyakan khabar. Walaupun sibuk dengan aktiviti hariannya namun masih sempat untuk memberi perhatian terhadapku.
“Hello! Ada apa?”
“Hai! Anis tengah buat apa? Sibuk? Sihat tak?”
Begitulah selalunya apabila kami memulakan perbualan. Walaupun aku benci lelaki dan dia juga mengetahui tetapi masih ingin mendampingiku. Kisah silam aku masih tidak dapat aku lupakan setelah apa terjadi terhadap diriku dan juga keluargaku. Semenjak kejadian pahit yang menimpaku, aku menjadi seorang yang tidak banyak bercakap dan hanya bercakap apabila perlu. Amirul sudah beribu kali cuba mengembirakanku tetapi aku masih tidak menghargainya. Aku anggap semua lelaki sama sahaja. Kenapa dia terlalu baik terhadapku?
“Anis, hari ini Mirul belanja ais-krim. Ambillah!”
“Kenapa? Mirul, kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Kenapa buat semua ini? Biarkan Anis. Tinggalkan Anis dengan dunia Anis ni.”
Tiba-tiba satu tamparan menghinggap pipiku. Air mataku terus mengalir sebaik sahaja menerima tamparan daripada Amirul.
“Anis! Bangunlah! Sedarlah! Sedar dari dunia Anis. Masih ada lagi orang yang sayangkan Anis. Jangan biarkan diri Anis dihantui kisah-kisah silam. Mirul cintakan Anis.”
Aku tersentak. Tidak pernah lagi aku menerima tamparan sebegini. Aku terus berlari meninggalkan Amirul sendirian. Malamnya, aku duduk termenung di atas katil. Kata-kata Amirul telah membuat aku terfikir-fikir. Perkara dia buat selama ini adalah kerana menyintaiku. Adakah benar dia sememangnya mencintai aku atau hanya nafsu yang sering menghantui manusia. Tidak mungkin aku akan jatuh cinta lagi. Aku tidak ingin pisang berbuah dua.
Hari demi hari dan  waktu demi waktu sudah berlalu pergi. Bulan juga sudah bersilih ganti. Kini, tiada lagi panggilan atau kiriman SMS darinya. Sudah dua bulan lamanya. Hatiku terasa tidak tentu arah. Cinta? Adakah aku merinduinya? Aku sudah sering kali cuba menghubunginya namun kegagalan yang aku temui. Di manakah dia berada? Sihatkah dia?
“Arghhhh!!! Kenapa aku fikir pasal mamat ni?” terkeluar kata-kata itu setelah segala usahaku gagal.
“Anis!” kedengaran suara sayup-sayup bercampur bunyi hujan lebat dari luar jendela kamarku.
“Anis!” sekali lagi suara itu menyerpa telingaku. Suara itu seperti pernah aku dengar. Aku terus mengorak langkah ke arah jendela itu. Aku menyelak langsir dan memandang ke bawah. Aku terkejut aku melihat seseorang berdiri kaku dengan keadaan basah-kuyup di dalam huja lebat itu.
“Amirul!” jeritku dan terus keluar membawa payung bersama.
“Amirul, apa Mirul buat di sini, dalam hujan, malam-malam pulak tu? Mirul pergi mana menghilangkan diri selama ni? ” aku bertanya dengan penuh kekeliruan sambil payungkan Amirul sekali.
“Selama ini Mirul kerja. Nak belikan Anis ini. Selamat Hari Lahir, Anis,” terang Amirul sambil menghulurkan sebentuk cincin permata.
Terlihat cincin dan kesungguhan yang terdapat pada matanya membuatkan peganganku menjadi lemah dan payung terlepas dari gengamanku terbang melayang mengikut angin lalu. Badanku menjadi kaku, diriku terpaku dan lidahku kelu. Aku baru sedar dari duniaku. Aku sememangnya rindukannya. Aku sememangnya telah jatuh cinta terhadapnya. Dunia nyata telah kembali dalam hidup semula. Bagaikan kehidupan yang dahulu datang kembali menerpa diriku. Dua insan telah disatukan di dalam hujan lebat membuat aku terasa bahagia selama-lamanya. Aku sememangnya bodoh. Aku tidak sedar akan kehadirannya selama ini. Aku bukan sendirian. Masih ada yang menyayangiku. Aku dan Amirul menjalankan kehidupan bersama setelah ke jinjang pelamin dan mempunyai seorang cahaya mata yang diberi nama Alina Syuhaida.

No comments:

Post a Comment