Monday, September 20, 2010

Mimpi Ngeri

Karya ni aku karang masa aku tingkatan 2


Aku tersedar dari satu kemalangan jalan raya. Aku berada di dalam kereta yang hampir musnah. Aku melihat jam tanganku yang telah pecah cerminnya tetapi masih berfungsi. Ia menunjukkan masa tepat jam 2.00 pagi. Sebelum kemalangan aku dan rakan-rakanku baru pulang dari Majlis Hari Jadi di rumah Suraya. Aku pergi bersama rakan-rakanku dan dipandu oleh pakcikku, Kassim. Akan tetapi, mereka semua tidak kelihatan di sisiku, lalu aku mencari mereka di merata tempat.
Aku berada di satu pekan lama yang terbiar. Mungkin mereka berada di dalam pekan itu untuk meminta bantuan. Aku berjalan melalui depan rumah kedai yang terbiar satu demi satu dengan perlahan. Beberapa minit kemudian aku terbau sesuatu yang tidak menyenangkan. Rupanya, terdapat mayat-mayat yang bergelimpangan dan darah bertaburan di sana sini. Aku berasa ketakutan dan ditambah lagi suasana dingin malam yang gelap-gelita. Hanya ditemankan cahaya bulan. Tempat ini sungguh menyeramkan dan menggerunkan perasaanku.
Sebaik sahaja aku melihat telefon awam di seberang jalan, aku terus berlari ke arahnya untuk meminta bantuan. Hajatku tidak kesampaian apabila aku mendapati telefon itu telah rosak teruk dan wayarnya telahpun putus. Sebaik aku melangkah pergi, dengan tiba-tiba telefon itu berdering. Aku terperanjat dan tanpa berlengah lagi aku segera menjawab panggilan itu. Aku mendengar satu suara yang agak perlahan dan kurang jelas, “Reza, tolong aku! Aku di dalam kedai muzik.” Suara itu macam pernahku dengar. Ya! Suara itu adalah suara sahabatku, Anis.
Panggilan itu mencemaskan aku, tambahan pula dengan suasana yang mengerunkan. Angin sejuk bertiup ke arahku. Aku berjalan dalam keadaan lemah untuk mencari kedai muzik itu. Badanku tidak bermaya tetapi aku meneruskan juga perjalanan. Sepanjang perjalanan, aku dapat merasakan sesuatu mengekori aku dari belakang. Sebaik saja aku menoleh, aku melihat beberapa manusia yang berlumuran darah mengekori aku. Ada yang tidak berkaki, ada yang tidak berlengan dan yang paling menakutkan, ada yang tidak berkepala. Aku terus mengambil langkah seribu.
Aku terus berlari sehinggalah kelibat mayat hidup itu tidak kelihatan lagi. Akan tetapi, kakiku terhenti secara tiba-tiba. Aku menjerit ketakutan sambil melihat keadaan sekeliling. Rupanya, aku berada di hadapan kedai muzik. Mungkin inilah kedai muzik yang dikatakan oleh Anis tadi. Bau yang teramat busuk di kedai ini menakutkan lagi perasaanku. Terdapat terlalu banyak mayat-mayat dan darah di merata-rata. Aku cuba bergerak dan berjalan ke arah kedai itu. Aku melangkah mayat-mayat itu sambil menjerit dan melaungkan nama Anis. “Ahhhh...,” tersentak aku mendengar jeritan itu. Itu adalah jeritan Anis. Jeritan itu datangnya dari bilik piano. Aku berlari ke bilik itu. Semakin jauh aku berlari semakin kuat suara Anis kedengaran.
Tiba di depan pintu bilik piano, aku menjerit ketakutan apabila melihat begitu banyak mayat hidup mengelilingi Anis. Lalu, beberapa mayat hidup tadi berpaling ke arahku lalu bergerak menghampiriku. Sekali lagi aku menjerit. Mereka semua datang kearahku dan mahu mencekikku. Tiba-tiba, “Reza, bangun...bangun...”. Aku membuka mata dan aku melihat ibuku sedang menggoyangkan badanku. “Astaghfirullahalazim...Reza bermimpi rupanya,” kataku kepada ibuku. “Itulah, nak tidur jangan lupa gosok gigi, basuh kaki dan baca doa. Tak adalah mimpi buruk lagi,” nasihat ibuku.